Cara Mencegah Penipuan Jual Beli Online

6 Cara Mencegah Penipuan Jual Beli Online

Transaksi jual beli di internet menjadi satu kemudahan yang bermanfaat kepada pembeli dan penjual. Oleh kerana bisnes sudah mula beralih secara atas talian (online), maka akan wujud banyak isu keselamatan dan penipuan. Post kali ini berkaitan cara mencegah penipuan jual beli online.

Mengikut kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, pada tahun 2018 sebanyak 28.7 juta rakyat Malaysia menggunakan internet. Ini bererti, lebih 88% rakyat Malaysia mempunyai akses ke internet untuk pelbagai tujuan.

Oleh kerana urusan jual beli online menjadi sangat mudah, cepat dan menjimatkan masa maka orang ramai sangat gemar membeli-belah di Internet. Dengan hanya memiliki akaun bank online, urusan pembelian dapat diselesaikan dalam masa tidak sampai 5 minit.

Pun begitu, kita tidak terlepas daripada kes penipuan yang boleh berlaku antara penjual dan pembeli. Pada 2018 sahaja, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial , PDRM merekodkan sebanyak 8,313 kes penipuan online melibatkan kerugian lebih RM162 juta!

aktiviti-online-rakyat-malaysia

Aktiviti rakyat Malaysia semasa menggunakan internet

Cegah lebih baik daripada merawat. Jangan nasi sudah menjadi bubur baru nak menyesal.

Jadi, bagaimana cara mencegah penipuan jual beli online? Jom baca perkongsian di bawah.

1. Terlalu Bagus untuk Dipercayai (Too Good to be True)

Biasanya untuk produk yang mahal tetapi menjualnya pada harga murah (tidak munasabah). Ini biasa berlaku kepada produk yang popular seperti telephone, laptop dan gadget.

Contohnya, harga pasaran sebuah handphone iPhone 6S 128GB baru adalah RM2700 tetapi ada penjual menjualnya pada harga RM1000 sahaja. Bagi mereka yang mencari-cari handphone iPhone, tentu tawaran ini sangat menarik dan menguntungkan.

Buat pertimbangan dengan akal yang waras. Kenapa penjual ingin menjual iPhone baru dengan harga begitu murah? Bukan original kah? Ada udang disebalik batu?

Mesti ada persoalan begitu sebelum membuat keputusan membeli. Biar rugi tidak memiliki, jangan rugi hilang wang kita dimiliki.

2. Semak Website atau Akaun Media Sosial

Katakan anda memang ingin juga membeli. Kita beri contoh iPhone tadi. Cara paling mudah adalah dengan menyemak laman web penjual. Jika dia tiada laman web, buat carian mengenai akaun media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Lakukan pembacaan di situ. Jika penjual seorang yang jujur dan aktif di media sosial, dia akan kerapa kemaskini post berkaitan barangan yang dijual. Kita boleh lihat dan baca pandangan pembeli yang telah memiliki telefon tersebut.

3. Baca Maklumat Produk yang ingin Dibeli

Ada kes penjual memang menjual barangan seperti diiklankan. Dek kerana terlalu ghairah untuk membeli pada harga murah, pembeli telah tersalah beli barang.

Penjual akan memaparkan setiap maklumat mengenai produk. Antaranya saiz, berat, gambar dan cara penggunaan. Tugas kita sebagai pembeli perlu membaca setiap baris ayat. Dengan itu, barulah kita tahu dan mendapat gambaran jelas mengenai barangan tersebut.

baca-produk-jualan

Ada kes yang berlaku kepada pembeli yang membeli penimbang berat badan. Bila diterima cuma replikas penimbang berat sebesar ibu jari. Dia sendiri mengakui tidak membaca maklumat produk dan cuma melihat pada harga sahaja.

4. Kenali Pelanggan yang Telah Membeli

Seorang penjual yang jujur sudah semestinya mempunyai pembeli. Pembeli ini pula akan memberikan respon positif terhadap barangan yang dijual. Kita boleh membaca maklumat pembeli-pembeli ini melalui perkongsian penjual di laman sosial beliau.

Ada sesetengan website jual beli online (marketplace) menyediakan rating kepada produk. Rating ini dalam bentuk komen dan juga gambar.

Maklumat-maklumat ini sangat berguna untuk kita menilai tahap kejujuran penjual membuat bisnes di internet.

5. Berjumpa dengan Penjual

Kita telah temui barangan dan berminat untuk membeli. Katakan sebuah kamera berharga RM2000. Harganya sangat mahal dan berisiko tinggi hanya dengan melihat gambar dan keterangan di internet.

Tetapkan satu tarikh untuk berjumpa dengan penjual. Jika anda seorang wanita, ajak rakan-rakan temani anda. Bimbang ada isu keselamatan.

Namun jika anda tiada rakan, tetapkan tempat berjumpa di kawasan umum yang ramai orang seperti di kedai makan. Keselamatan anda lebih terjamin.

cash on delivery

6. Buat Bayaran Semasa Berjumpa

Jika penjual online meminta anda membuat bayaran deposit atau bayaran penuh dengan jumlah yang banyak, elakkan meneruskan urusan. Seorang penjual yang jujur akan memberi pilihan kepada anda untuk membuat bayaran.

Biasanya jika harga barangan berharga ribuan ringgit, penjual gemar menerima bayaran secara berjumpa (Cash on Delivery). Anda membayar semasa bertemu penjual sama ada secara tunai atau online banking.

Sumber rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *