tabung simpan duit

8 Cara Bijak Menyimpan Duit Gaji Bulanan

Simpan pun habis, tak simpan pun habis. Itu keluhan biasa dari kita yang mendapat gaji setiap bulan. Mahu tidak mahu, kita perlu bijak belajar cara menyimpan duit gaji untuk kesenangan masa hadapan.

Ada banyak tujuan menyimpan duit gaji. Tujuan utama adalah persediaan masa akan datang. Boleh jadi kita ingin buat duit persaraan, pendidikan anak-anak ataupun membeli rumah pada masa akan datang. Jadi penting kita mula menyimpan supaya kita mempunyai modal pada masa kita perlukan kelak.

Tempat simpanan tidak begitu penting. Jika tempat simpanan memberikan dividen, itu adalah bonus. Paling utama bagaimana kita ingin disiplinkan diri menyimpan.

Apakah cara menyimpan duit gaji bulanan? Ada beberapa pilihan bijak kita boleh lakukan:

1. Potongan Gaji Bulanan

Jika anda bekerja makan gaji, ini adalah kaedah paling mudah dilakukan. Hanya perlu maklumkan kepada majikan bahawa anda ingin buat potongan gaji ke akaun lain.

Dengan cara ini anda tidak perlu lagi memikirkan tentang wang simpanan. Ianya automatik akan ditolak dari akaun dan dimasukkan ke akaun simpanan anda.

Ada banyak pendapat tentang jumlah yang perlu disimpan. Ada saranan 10%, 20% dan 50%. Bagi saya terpulang kepada individu.

Asalkan mampu menyimpan, itu lebih baik sebagai satu asas disiplin. Percayalah, jika kita selalu menyimpan wang, kita akan lebih bersemangat untuk simpan lebih banyak.

2. Simpan Dulu Baru Belanja

Duit gaji seperti satu persinggahan sahaja. Ia singgah di akaun bank, kemudian dalam masa beberapa hari sudah berkurangan kerana kita membayar hutang dan berbelanja membeli barangan.

Satu cara untuk menyimpan duit gaji adalah simpan dahulu baru berbelanja. Asingkan duit gaji untuk simpanan dan bakinya baru digunakan untuk keperluan membayar hutang dan berbelanja.

Jika kita tunggu sehingga hujung bulan, kebarangkalian tinggi kita tiada wang lagi untuk menyimpan. Ini biasa berlaku kepada kebanyakkan daripada kita termasuk saya.

3. Sampul Duit Berwarna Ganjil

Ganjil bermaksud not duit yang jarang kita temui, contohnya duit RM5. Jika not duit RM1 rasanya sudah biasa memenuhi dompet kita.

Sediakan satu tabung atau sampul duit, kemudian apabila kita terima not RM5, terus masukkan dalam bekas simpanan tersebut. Buat ikut kemampuan.

4. Beri Isteri Simpan

Bagi seorang suami yang bekerja, isterinya adalah juruwang, akauntan dan bank terbaik dalam rumah tangga. Berilah berapa ringgit sekalipun, jika beliau seorang yang mengambil berat perihal keluarga, pasti dia akan menyimpan wang kita dengan baik.

isteri simpan duit

Tanyalah pada hujung bulan, pasti masih ada baki simpanan jika dia bijak menguruskan kewangan. Terkadang fikirannya lebih jauh daripada seorang suami mengenai ilmu kewangan.

5. Simpan di Akaun Pelaburan

Tiada halangan untuk menyimpan di mana sahaja hatta bawah bantal sekalipun. Namun, bagi seorang yang bijak, dia akan menyimpan di akaun pelaburan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Tabung Haji.

Ini kerana menyimpan di bank melalui akaun simpanan hanya memberikan beberapa peratus sahaja dividen. Jika di ASB dan Tabung Haji, kita boleh mendapat sekurang-kurangnya 5% setiap tahun.

Bukankah lebih baik?

sejarah dividen tabung haji

Sejarah Dividen Tabung Haji

sejarah dividen asb

Sejarah Dividen ASB

6. Simpanan Tanpa Kad

Kad ATM adalah satu kaedah paling mudah untuk keluarkan duit. Bukan hanya di bank, kita boleh juga keluarkan wang melalui ATM di stesen minyak, hentian rehat lebuhraya dan di kedai serbaneka. Aksesnya banyak dan mudah.

Untuk tujuan simpanan, sebaiknya elakkan yang mempunyai kemudahan kad ATM. Contohnya simpan di Tabung Haji dan ASB yang tiada kad ATM.

7. Main Kutu Bersama Rakan Pejabat

Kutu adalah simpanan berkumpulan dan pulangan akan diterima setiap bulan dari jumlah terkumpul. Pulangan diterima daripada persetujuan ahli seperti membuat undian.

Jika kita bermain kutu bersama rakan pejabat, buat kumpulan yang kecil antara 5 – 10 orang kerana lebih mudah diurus.

Konsep kutu sebenarnya bagus kerana memaksa kita membuat simpanan paksa (membayar duit kutu) kepada ahli. Kita akan berdisplin dan pada masa yang sama menjaga adab berkawan. Ianya mewujudkan sifat bantu membantu dan bersabar dalam membuat simpanan.

8. Simpan Emas

Simpanan emas sangat berlainan dengan simpanan wang kerana kita simpan aset fizikal. Mengikut sejarah harga emas, ianya sentiasa meningkat dalam kadar waktu yang panjang.

Cara menyimpan duit gaji melalui pinjaman emas dapat mengelak kita menggunakan duit. Ini kerana kita beli emas dan dapat emas. Susah pula untuk ditebus emas kepada duit kerana prosesnya agak rumit.

buat haji dengan emas

Kos menunaikan haji turun dengan peningkatan harga emas. 

Walaupun begitu, simpanan emas bagi saya sesuai untuk rancangan jangka panjang seperti menunaikan haji, membeli rumah dan pendidikan.

Menyimpan duit mengajar kita berdisplin dengan wang dan bersiap sedia di hari mendatang. Bak kata pepatah “Sediakan Payung Sebelum Hujan”.

Sumber rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *