cara memupuk tabiat membaca

5 Cara Memupuk Tabiat Suka Membaca

Membaca adalah jambatan ilmu. Lebih banyak kita membaca, lebih tinggi pengetahuan kita perolehi. Membaca perlukan minat. Jadi, apakah cara memupuk tabiat membaca?

Kajian Interim Tabiat Membaca Rakyat Malaysia 2014 menunjukkan rayat Malaysia membaca 15 buah buku setahun. Buku ini termasuk bahan ilmiah, akhbar, komik dan jurnal.

Dalam artikel kali ini, saya cuma tekankan tabiat membaca bahan imiah yang bermanfaat seperti ilmu pengurusan, bisnes, kewangan, motivasi dan agama. Buku dalam kategori rekaan seperti novel dan komik bukanlah fokus utama.

Ini kerana bahan bacaan seperti ini meningkatkan tahap pemikiran seseorang. Ia menjadikan kita lebih matang dalam berfikir dan memberi pendapat.

Katakanlah (wahai Muhammad) apakah sama orang-orang yang mengetahui dan orang-orang yang tidak mengetahuiSesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. (Al Quran Surah Az Zumar: 9).

Dari firman Allah ini kita mengetahui darjat dan kepentingan ilmu kepada seluruh umat manusia. Juga perbezaan antara mereka yang mempunyai ilmu dan sebaliknya.

Orang berilmu lebih utama kerana dapat mengambil pelajaran daripada kehidupan sekeliling.

Bagaimana cara memupuk tabiat membaca?

1. Ikut Minat Anda

Untuk permulaan, ikut minat anda. Jika anda minat melancong dan mengembara, anda boleh membaca buku berkaitan perkara tersebut. Cari bahan bacaan berkaitan negara lain, tempat menarik mahupun tempat makan sedap.

Walaupun pada awalnya anda mungkin tidak membaca tetapi jika anda temui buku berkaitan pengembaraan, pasti anda berhenti dan membelek buku tersebut.

Ini kerana minat pada sesuatu perkara mendorong anda untuk mengetahui perkara lain yang berkaitan dengannya.

kanak-kanak minat membaca

Tidak kira di mana, jika kita minat membaca, kita nak saja membaca.

Saya mempunyai seorang rakan yang meminati sejarah Tanah Melayu. Saya perhatikan beliau gemar membaca laman web berkaitan sejarah seperti di Wikipedia.org.

Tabik! Bahan bacaan seperti ini saya kategorikan sebagai berat kerana bercampur nombor, tempat dan fakta. Tidak boleh tersalah maklumat. Memang saya kagum minat beliau pada ilmu sejarah sebegini.

2. Beli Buku Paling Murah

Beli buku ikut kemampuan. Tidak perlu terlalu ikut emosi membeli dalam kuantiti banyak, bacanya tidak. Beli sahaja walaupun murah kerana ilmu di dalam tersangatlah mahal.

Bila kita membeli buku, secara tidak langsung kita sudah menetapkan niat untuk membaca. Ini satu cara memupuk tabiat membaca pada peringkat awal.

Beli dan letakkan di atas meja, sofa atau di mana sahaja tempat kita beristirehat. Mulakan dengan membaca beberapa helai terlebih dahulu.

Bila kita sudah asyik, kita mampu untuk teruskan dengan helaian seterusnya. Ikut tempo pembacaan, kita boleh membaca 20 muka surat  dalam masa setengah jam.

Itu sudah dikira baik kerana kita dapat tambah ilmu baru.

3. Simpan Buku dalam Kereta

Ini biasa saya buat. Ada sebuah buku di dalam kereta. Bila waktunya nak membaca jika memandu?

Bukan waktu memandu tetapi waktu berhenti dan menunggu di dalam kereta.

Waktunya ketika cuci kereta!

Pada waktu ini saya biasanya berada di dalam kereta sewaktu kedai mencuci di luar. Ada masa kira-kira 15 minit untuk siap mencuci. Dalam tempoh ini, saya dapat habiskan 10 muka surat buku.

Bahan bacaan di dalam kereta saya pilih yang lebih santai seperti biografi kisah kejayaan, kewangan dan motivasi.

4. Berkunjung ke Kedai Buku

Anda tentu suka membeli-belah (shopping) di pasaraya besar. Apa kata singgah sebentar di kedai buku seperti MPH dan Popular. Lihat pada buku terkini atau yang anda minat.

Di kedai buku, kita akan dapat satu semangat dalam persekitaran membaca. Apa anda lihat adalah individu yang duduk membaca di lantai serta mencari buku. Semua dalam mood membaca.

Setiap orang yang masuk ke kedai buku pasti ingin membeli buku. Buku, novel, alat tulis dan komik semuanya ada di kedai buku.

Jika tidak berkesempatan, boleh beli buku secara online. Saya biasa beli di website Bookcafe kerana dapat harga diskaun dan penghantaran percuma (promosi tertentu). Jadi nak beli buku sekarang sudah mudah. Hanya di depan komputer sahaja.

Jika kita benar-benar ulat buku, membeli di kedai buku banyak manfaat. Selain dapat penjimatan dengan menjadi ahli, kita juga dapat potongan cukai bahan bacaan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

5. Kurangkan Penggunaan Media Sosial

Membaca tidak terhad kepada buku semata-mata. Dalam dunia Internet yang mempunyai pelbagai jenis ilmu, kita boleh belajar pelbagai perkara. Sama ada melalui penulisan, video dan juga audio.

halangan membaca

Tinggalkan media sosial seketika untuk lebih tumpuan membaca.

Untuk lebih fokus semasa belajar sesuatu sebaiknya kurangkan pengunaan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Media sosial sebegini lebih tertumpu kepada perkara peribadi yang kurang baik untuk menambah ilmu pengetahuan.

Sumber Rujukan:

Sumber gambar:

One thought on “5 Cara Memupuk Tabiat Suka Membaca”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *