cara membaca tulisan thai

Cara Membaca Tulisan Thai – Bahagian 1

Buat pengunjung ke negara Thailand buat kali pertama pasti tidak melepaskan peluang bergambar di hadapan papan tanda dalam tulisan Thai. Sekali imbas, nampak seperti cacing.

Pernahkah anda terfikirkan bagaimana caranya hendak membaca tulisan tersebut? Ayuh teruskan membaca artikel ini untuk pencerahan.

belajar bahasa thai

Akson Thai (อักษรไทย) atau aksara Thai ini sinonim dengan negara Gajah Putih. Bagi yang pernah berkunjung ke Thailand khususnya wilayah selatan seperti Hat Yai, Songkhla dan Phuket, tentu sekali mendapati lebih kurang 90% papan tanda di dalam tulisan ini.

Sebelum mulakan pelajaran kita, marilah sama-sama kita mencari titik persamaan dan perbezaan antara อักษรไทย dan tulisan yang kita biasa gunakan; tulisan Rumi.

Berikut persamaan antara tulisan Rumi dan อักษรไทย ini.

Persamaaan

1. Ditulis dari kiri ke kanan

Sebagaimana tulisan Rumi yang kita gunakan, อักษรไทย juga ditulis dari kiri ke kanan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa huruf vokal yang mempunyai simbol sebelum huruf konsonan.

2. Sebutan terhasil dengan gabungan huruf konsonan dan vokal

Satu-satu perkataan itu dieja huruf demi huruf yang membentuk bunyinya. Sebagai contoh;

มาเลเซีย

Dieja menggunakan huruf-huruf seperti มา (maa),เล (le) dan เซีย (siya).

Perbezaan

1. Tiada jarak antara dua perkataan

Jangan terkejut sekiranya anda mendapati perenggan di dalam tulisan Thai tampak memeningkan. Ini kerana tiada jarak yang memisahkan dua perkataan. Satu cabaran buat mereka yang baru belajar.

tulisan thai

Terdapat juga beberapa media cetak yang menjarakkan perkataan agar lebih mudah untuk dibaca

2. Sebutan vokal mengikut susunan simbol pada konsonan

Simbol vokal tidak boleh berdiri dengan sendiri melainkan digandingkan bersama huruf konsonan. Ia boleh berada di sebelah kiri, sebelah kanan, atas, bawah dan kombinasi antaranya. Walau bagaimanapun pattern-nya agak seragam dan tetap.

3. Mempunyai simbol yang menentukan nada bacaan

Bahasa Thai merupakan bahasa yang bernada. Ada 5 jenis nada – sedang, rendah (R), tinggi(T), menaik(N) dan menjunam(J). Info lebih lanjut akan kita kupas dalam isu yang mendatang.

หมา(maaN) vs ม้า  (maaT);

jika dirumikan sama sahaja (maa), namun pengertiannya jauh berbeza. Dibaca dengan nada menaik membawa maksud anjing manakala sekiranya dibaca dengan nada tinggi bererti kuda.

Untuk pelajaran kali ini, ayuh kita mulakan dengan simbol vokal . Bagi membantu kita untuk belajar, kita akan menggunakan huruf อ – aw (sebut Ok). Seperti yang dihuraikan sebelumnya simbol vokal ini tidak boleh berdiri dengan sendiri. Dengan itu, kita menjadikan huruf ini sebagai placeholder atau pemegang kepada simbol vokal yang dipaparkan.

Simbol vokal

Simbol Rumi Sebutan Cara mengenali
อะ a Ayam Seakan-akan nombor 6 yang ditulis secara terbalik dan mengiring.
อา aaa Seperti อะ yang dipanjangkan Bayangkan seorang budak menjerit ‘aaaa’ apabila mata kail า tersangkut di pipinya.
อิ i Ikan Umpama seorang yang memakai topi di atas kepala
อี Eee Seperti อิ yang dipanjangkan Seperti อิ, topi yang dipakai sangat tinggi, sehinggakan mempunyai sebatang tiang.
อุ U Udang Nombor 9 di sebelah bawah konsonan
อู uuu Seperti อุ yang dipanjangkan Nombor 9 yang berekor, ekornya menjalar ke atas membentuk huruf U

Untuk pelajaran berikutnya kita akan meneruskan dengan sebutan vokal yang lain. Akhir kata, ลาก่อนครับ.

Kredit gambar: https://idrusbibrahim.blogspot.com/search/label/Satun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *