9 Cara Menjawab Pertanyaan Pelanggan Bisnes

Nadi utama sesebuah bisnes adalah pelanggan atau pembeli. Tanpa mereka, tiada ertinya bisnes. Tiada jualan maka tiada keuntungan. Apakah cara menjawab pertanyaan pelanggan bisnes anda?

Customer is right.

Customer is king.

Semuanya benar kerana mereka menentukan untung rugi sebuah bisnes. Pelanggan yang setia akan kembali membeli dengan kita.

Sementara pelanggan yang tidak berpuas hati dengan khidmat jualan akan lari dan menyebarkan seribu satu keburukan kita kepada yang lain.

Jadi penting menjaga pelanggan bermula dari awal perkenalan. Oleh itu, bagaimana cara terbaik untuk menjawab pertanyaan pelanggan?

Jom baca perkongsian kami.

1. Mulakan dengan Senyuman

Jika pelanggan datang ke kedai anda, mulakan dengan senyuman tanda menyambut dan mengalu-alukan kedatangan mereka.

Satu senyuman dapat menceriakan suasana. Juga dapat memberi pandangan pertama bahawa anda memang ikhlas ingin menerima kehadiran mereka.

motivasi senyum

Senyuman adalah kunci untuk membuka pintu hatiAnthony J. D’Angelo

Bagaimana jika anda menerima pertanyaan dari telefon atau Whatsapp? Jawab dengan nada senyum. Terima dengan gembira. Pelanggan dapat mengetahui daripada intoasi suara dan cara penyampaian anda.

Jika secara mesej di Whatsapp, tidak salah jika sertakan tanda smiley senyuman. Itu sudah cukup memberi rasa seronok di hati pelanggan.

2. Bertanya Khabar

Pelanggan adalah manusia yang mempunyai emosi dan perasaan. Jika pelanggan anda adalah haiwan dan robot, mungkin kaedah ini nampak ganjil.

Dengan satu pertanyaan “Apa khabar?”, mereka akan rasa diambil peduli. Walaupun anda dan mereka belum mengenal antara satu sama lain, tetapi pertanyaan ini boleh membuka lebih luas ruang bicara.

3. Ucap Terima Kasih

Satu perkataan agung yang sangat besar maknanya kepada pembeli. Anda boleh ucapkan seperti berikut:

“Terima kasih kerana menghubungi kami. Nama saya Ahmad. Boleh saya bantu?”

“Hi, terima kasih kerana berminat. Bagaimana saya boleh bantu?”

terima kasih pelanggan

Ucapan terima kasih secara tidak langsung menunjukkan rasa penghargaan. Dalam banyak bisnes dari pesaing, mereka menemui anda. Jadi perlu diberi lebih perhatian dengan tanda terima kasih.

4. Kenalkan Diri dan Tanya Nama Pelanggan

Apa lagi cara menjawab pertanyaan pelanggan? Apa lagi jika tidak kenalkan diri anda.

Memang benar anda mewakili syarikat anda bekerja tetapi anda berurusan dengan manusia. Perlu memperkenalkan diri. Sekadar nama panggilan sudah cukup untuk pelanggan tahu nama anda.

Begitu juga dengan pelanggan. Tanya nama mereka. Bahasakan diri dengan panggilan tuan, puan, encik, cik supaya nampak lebih professional.

Panggilan anda kepada mereka menaikkan lagi reputasi anda. Pelanggan tahu mereka berurusan dengan orang yang mempunyai etika komunikasi yang baik.

Jika anda menjual produk yang eksklusif seperti cenderahati korporat, adalah tidak wajar menggunakan perkataan sis, yunk, dear dan seumpanya.

Ia lebih membawa keburukan kepada kredibiliti bisnes kerana anda berurusan dengan organisasi korporat. Mereka adalah professional dalam bidang masing-masing.

5. Dengar Masalah dan Respon

Pelanggan menghubungi anda kerana ingin menyelesaikan masalah. Betul?

Mereka mungkin lapar dan telefon anda.

Mereka mungkin ada masalah berat badan dan telefon anda.

Mereka nak beli kereta dan telefon anda.

Setiap masalah ada penyelesaiannya. Jawapannya ada pada anda. Jadi dengar masalah dan beri respon dengan tepat.

6. Hulurkan Bantuan 

Selepas anda mendengar dengan teliti dan faham masalah mereka, anda boleh hulurkan bantuan. Bantuan boleh datang daripada penyelesaian yang anda tawarkan kepada mereka sesuai dengan keperluan dan bajet pelanggan.

bantuan kepada pelanggan

Tunjukkan anda bersedia dengan bantuan. Biar mereka nampak kesungguhan anda untuk membantu. Jadi peluang anda untuk berurus niaga akan menjadi lebih cerah.

7. Sediakan Beberapa Pilihan

Jika anda menjual beberapa produk dengan bajet tertentu, sediakan beberapa pilihan. Contohnya anda menjual cenderahati korporat kepada sekolah.

Pelanggan cuma bertanya hadiah yang sesuai untuk hari guru. Kemudian mereka memberikan bajet misalnya RM10 seunit.

Oleh kerana bisnes cenderahati korporat mempunyai banyak jenis produk, berikan pilihan kepada pelanggan. Biar mereka memilih sesuai dengan keinginan mereka.

8. Beri Ruang untuk Membuat Pilihan

Setelah anda memberikan pilihan, jangan terus terburu-buru untuk menjual. Beri ruang untuk mereka membuat pilihan.

Kurang menggunakan tawaran yang nampak tidak begitu professional, contohnya jika puan beli sekarang, puan dapat diskaun 30%. Jika esok sudah tiada.

Walhal, jika esok pelanggan lain bertanya, mereka masih dapat tawaran yang sama. Bagi kami, ini tidak wajar kerana menipu pelanggan. Dek kerana ingin mengejar jualan, kita abaikan etika baik dalam bisnes.

9. Tawarkan Bantuan Dari Semasa ke Semasa

Penat melayan karenah pelanggan tetapi akhirnya mereka tidak membeli. Usah kecewa kerana rezeki tidak pernah salah alamat. Pasti ada untuk kita pada yang lain.

Teruskan membantu pelanggan. Di akhir perbualan, boleh ucapkan seperti ini. “Tidak mengapa puan tidak membeli. Jika perlukan apa-apa bantuan, puan boleh hubungi saya lagi. Saya sedia membantu 🙂

Teruskan bisnes dengan etika mulia. Belajar cara menjawab pertanyaan pelanggan dengan kaedah paling baik. Pasti, mereka membeli dari anda bukan semata-mata dari harga tetapi dari khidmat yang terbaik mereka terima.

One thought on “9 Cara Menjawab Pertanyaan Pelanggan Bisnes”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *